Colours of life: A Psychological Perspective

Berikut ini adalah petikan dari tugas Mata Kuliah Bahasa Melayu yang pernah saya buat sewaktu kuliah dulu. Semoga bermanfaat bagi yang sedang ambil BM sekarang ataupun yang berminat untuk mencermati perbedaan Bahasa Indonesia dan Bahasa Melayu.

Bahasa Melayu dan bahasa Indonesia berasal dari rumpun bahasa yang sama. Penutur kedua-dua bahasa itu pada umumnya dapat saling memahami walaupun terdapat perbezaan dari segi ejaan dan kosa kata. Perbezaan antara bahasa Indonesia dengan bahasa Melayu ini adalah seperti perbezaan antara bahasa Inggeris Britain dan bahasa Inggeris Amerika (http://ms.wikipedia.org/wiki/perbezaan antara Bahasa Melayu Piawai dan Bahasa Indonesia). Namun, dari semasa ke semasa telah terjadi perkembangan kosa kata yang banyak berbeza. Sekarang ini banyak kosa kata bahasa Melayu yang tidak dapat difahami lagi ataupun menimbulkan pemahaman yang mengelirukan pada masyarakat Indonesia, sebaliknya banyak juga kosa kata bahasa Indonesia yang tidak dapat difahami atau menimbulkan pemahaman yang mengelirukan pada masyarakat Melayu di Malaysia.

Semakin banyaknya perbezaan antara bahasa Melayu dan bahasa Indonesia itu disebabkan banyak hal, terutamanya ialah kerana perbezaan penyerapan kosa kata dari bahasa tempatan dan bahasa asing. Bahasa Melayu dan bahasa Indonesia sama-sama menyerap banyak kosa kata dari bahasa Inggeris, Arab, Sanskerta Indo-Eropah, Parsi, Portugis, dan China, tetapi cara penyerapannya ke dalam bahasa masing-masing berbeza. Kosa kata bahasa Indonesia banyak yang berbeza daripada bahasa Melayu kerana mempunyai perkataan yang berasal daripada bahasa tempatan (bahasa daerah) dan bahasa Belanda. Perbezaan antara bahasa Melayu dan bahasa Indonesia juga disebabkan perbezaan kelaziman penggunaan perkataan atau istilah yang dipergunakan dalam konteks-konteks tertentu (Badudu, 1989).

Semasa kali pertama datang ke Malaysia, banyak orang Indonesia yang ragu-ragu ketika hendak masuk tandas kerana pada pintu tandas tertulis “Kakitangan Sahaja”. Apakah itu bererti kita harus meninggalkan anggota badan yang lain di luar kerana hanya kaki dan tangan yang boleh masuk? Tentu mustahil. Ada juga orang Indonesia yang ditakut-takuti oleh rakannya yang mengatakan “ Hati-hati bila pergi ke pejabat itu kerana di sana ada kakitangan yang tidak mempunyai kepala”. Bagi orang Indonesia kata-kata itu dianggap menggambarkan suatu keadaan yang menyeramkan. Siapakah pejabat yang mempunyai kakitangan tetapi tidak ada kepalanya? Apakah ada makhluk yang serupa dengan “Hantu Jeruk Purut” yang selalu membawa kepalanya di Malaysia ini? Yang melucukan, makhluk itu adalah pejabat. Mungkinkah pejabat itu mempunyai ilmu kesaktian sehingga dapat melepas kepalanya sendiri dan tetap hidup?

Kesalahfahaman di atas terjadi kerana penggunaan istilah kakitangan, pejabat dan kepala di Indonesia mempunyai konteks yang berbeza dengan penggunaannya di Malaysia. Orang Indonesia dan orang Malaysia yang sudah mengetahui erti sebenar kata-kata itu di kedua-dua negara biasanya selalu memanfaatkan perbezaan tersebut untuk menimbulkan kelucuan bagi rakan-rakannya yang sebaik sahaja sampai di Malaysia. Berikut ini adalah huraian perbezaan makna istilah kakitangan, ketua, kepala dan pejabat menurut apa yang termaktub di dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia (1988) dan Kamus Dewan (2005).

Jadual 1 Perbezaan makna kata bahasa Melayu dan bahasa Indonesia

Istilah

Kamus Dewan

Kamus Besar Bahasa Indonesia

Pejabat
  1. Bangunan tempat bekerja atau tempat diselenggarakannya pelbagai urusan
  2. Id. Jabatan
  3. Id. Pegawai kerajaan yang memegang jawatan penting, pemegang jawatan, penjabat
  1. Penjabat; pegawai pemerintah yang memegang jabatan penting (unsur pimpinan)
  2. Kantor; markas; jawatan
Kakitangan
  1. Pekerja, pembantu (yang turut melaksanakan atau mengurus kerja)
  1. Kaki dan tangan
  2. Pembantu; orang yang diperalat oleh orang lain
Kepala

  1. Bahagian tubuh (manusia atau binatang) daripada leher ke atas atau ke hadapan (tempat terdapatnya mata, mulut, telinga), hulu
  2. Bahagian sesuatu yang di sebelah atas (hadapan atau hulu) sekali
  3. Ketua, pemimpin, penghulu
  4. Otak, akal, fikiran
  5. Orang (digunakan dalam perhitungan atau perkiraan)
  1. Bahagian tubuh yang di atas leher (pada manusia dan beberapa jenis hewan merupakan tempat otak, pusat jaringan saraf, dan beberapa pusat indera)
  2. Bahagian tubuh yang di atas leher tempat tumbuhnya rambut
  3. (kiasan) Bahagian suatu benda yang sebelah atas (ujung, depan dan sebagainya)
  4. (kiasan) Bahagian yang terutama
  5. (kiasan) Pemimpin; ketua
  6. (kiasan) Otak (pikiran, akal, budi)
  7. Orang
Ketua
  1. Orang yang tertua dan banyak pengalamannya dalam kampung dan lain-lain
  2. Orang yang mengepalai atau memimpin pasukan, perkumpulan, pertubuhan, jabatan dan lain-lain
  1. Orang yang tertua dan banyak pengalamannya dalam suatu kampung dan sebagainya
  2. Orang yang mengepalai atau memimpin rapat, dewan, perkumpulan dan sebagainya

Berdasarkan penjelasan yang terdapat dalam Kamus Dewan (2005) mahupun Kamus Besar Bahasa Indonesia (1988) di atas, kita mengetahui bahawa sebahagian besar istilah yang menimbulkan kesalahfahaman pada contoh di atas sebenarnya mempunyai erti yang sama pada bahasa Melayu dan bahasa Indonesia. Kata pejabat di Malaysia bererti bangunan tempat bekerja, jabatan mahupun penjabat. Namun erti pejabat dalam contoh di atas sebenarnya lebih kepada bangunan tempat bekerja. Dalam bahasa Indonesia, kata pejabat juga mempunyai erti yang sama namun lazimnya digunakan untuk merujuk erti seseorang yang memegang jawatan penting (penjabat). Adapun istilah yang sering digunakan untuk bangunan tempat bekerja di Indonesia ialah kantor.

Istilah kakitangan juga terdapat dalam bahasa Indonesia, tapi tidak lazim digunakan untuk menerangkan kata pekerja. Bahasa Indonesia selalu menggunakan perkataan pegawai, pekerja atau staf bagi menunjukkan erti tersebut. Istilah kakitangan di Indonesia lebih cenderung bererti kaki dan tangan sebagai anggota tubuh. Walaupun digunakan sebagai kiasan, istilah kakitangan selalunya mempunyai konotasi yang buruk atau jahat (pegawai atau ahli penjenayah).

Ketua dan kepala, juga mempunyai erti yang hampir sama namun kelaziman penggunaannya berbeza. Orang yang mengepalai atau memimpin jabatan di Indonesia sering disebut dengan istilah kepala, sementara di Malaysia lebih lazim digunakan istilah ketua.

Referensi

Anon. 2007b. Perbezaan antara bahasa Melayu piawai dan bahasa Indonesia. http://ms.wikipedia.org/wiki/perbezaan antara Bahasa Melayu Piawai dan Bahasa Indonesia.html [4 Februari 2007]

J.S Badudu. 1989. Bahasa Indonesia dan Malaysia sering sebunyi tapi pengertian berbeda. Suara Pembangunan, 4 Mac: 2

Kamus Besar Bahasa Indonesia. 1988. Jakarta: Balai Pustaka

Kamus Dewan. 2005. Ed. ke-4. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka


August 29th, 2008 at 7:30 am
One Response to “Kakitangan Yang Tidak Mempunyai Kepala”
  1. 1
    malon Says:

    hahahaha..... kadang bicara dengan orang malaysia suka ngakak.... kah kah kah.... mau pusing kok di jalanan, pusing mah di kepala

 

*